Pengalaman Buat MLM
WALAUPUN teori mengenai MLM penuh di kepala, namun demikian, ia tidak mendapat apa-apa manfaat kalau tidak dipraktikkan. Justeru itu, tahun 2002 adalah permulaan saya menceburi MLM secara aktif dengan menyertai sebuah syarikat MLM tempatan.
Saya begitu bersemangat sekali ketika mengisi borang menjadi ahli walaupun terpaksa berhutang dengan upline (pak Jais). Di awal penyertaan saya mengikuti kursus Success Network Programme (SNP) untuk pengedar baru yang dikendalikan dua orang jutawan dari syarikat yang saya sertai.
Melalui kursus ini saya mendapat pendedahan tentang bentuk-bentuk pekerjaan yang diklasifikasikan kepada pekerjaan matahari terbenam, matahari mendatar, matahari terbit dan matahari turun naik. Di sinilah titik-tolak saya untuk memikirkan ‘kenderaan’ yang perlu saya gunakan untuk merealisasikan impian iaitu kebebasan masa dan kebebasan kewangan.
Untuk memantapkan lagi pengetahuan, saya mengikuti upline-upline yang bertaraf jutawan ke mana sahaja mereka pergi. Yang pasti, hampir setiap malam saya akan singgah ke kedai Wak Ramlan untuk menimba ilmu.
Pengalaman yang paling menyeronokkan adalah apabila mengikuti upline mengadakan ‘home party’ ke rumah-rumah prospek di mana saya dapat saksikan sendiri bagaimana jualan boleh terhasil. Saya belajar bagaimana cara mengendalikan ‘home party’ termasuk dari segi susun atur produk, cara buat jemputan, buat demonstrasi produk dan yang paling penting ‘closing sales’.
Apabila sudah belajar, saya pun buat ‘home party’ di rumah sendiri. Jemput jiran-jiran datang ke rumah. Namun, kali pertama anjurkan ‘home party’, hanya ada seorang sahaja jiran yang datang. Barangkali jiran-jiran sudah nampak dari luar rumah saya menyusun atur produk, maka ‘tak beranilah’ mereka datang. Akhirnya majlis itu hanya bersama dengan upline-upline sahaja. Nak cerita dengan seorang jiran itu pun tak bersemangat.
Kali kedua buat ‘home party’, jemputan diperluas kepada rakan-rakan sepejabat. Prospek yang datang cuma lima orang sahaja: empat wartawan dan satu jurugambar. Yang peliknya kawan-kawan pejabat yang kerjanya hanya duduk di pejabat, tidaklah sesibuk mana tak boleh datang dan bagi bermacam-macam alasan tetapi wartawan-wartawan yang terikat dengan ‘dateline’ boleh datang.
‘Home party’ kali ini best sikit kerana ada sales. Seorang rakan setugas wartawan wanita (sekarang sudah jadi isteri kepada salah seorang ‘bodyguard’ Menteri Besar Selangor) tertarik tengan demonstrasi tuala wanita. Bermula daripada dia, kawan-kawan yang lain pun ikut sama teruja.
Nak ‘maintain’ setiap bulan tidak ada masalah. Daripada 30 orang staf tempat saya bekerja, saya cuma ada 10 pelanggan tetap yang membolehkan saya ‘maintain’ dengan mudah setiap bulan. 1 pelanggan 1 produk. 10 pelanggan sudah jadi 10 produk. Dan 10 produk ini sudah pun melebihi 100PV (syarat bulanan untuk dapat bonus). Kebanyakkan kawan-kawan sepejabat beli produk makanan kesihatan.
Macam mana saya boleh dapat mereka jadi pelanggan? Semuanya kerana perkataan MINTAK TOLONG! “Boleh tolong beli satu saja produk. Tak pe lah yang lain boleh beli kat pasar raya.” Ayat minta tolong ni sebenarnya ia berkuasa. Waktu itu saya bukan minta tolong minta sedekah, tetapi saya berniaga. Timing pulak timing yang tepat iaitu masa dapat gaji. Kalau dah pertengahan bulan, sukar sikit pasal duit gaji mereka dah habis, bimbang kalau-kalau mereka beli produk dengan berhutang.
Downline Pertama
Downline pertama saya adalah rakan sekolah dan sekampung yang berjumpa di Kuala Lumpur. Namanya Shamsulnizam Salleh. Dia bekerja di Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ). Dialah downline yang paling rajin bawa prospek ke tempat meeting di Setapak. Walaupun rumahnya di Klang, hampir setiap minggu dia datang ke Setapak. Daripada dia seoranglah, kumpulan saya membesar. Bonus membesar pun kerana besarnya kumpulan dia.
Tetapi bonus besar tak lama. Apabila dia sama pangkat dengan saya, maka terputus (break) sementara maklumlah pelan pemasarannya bersifat 'Break away', terpaksalah terima hakikat. Beberapa kali bonusnya lebih besar daripada saya walaupun saya upline dia. Untuk dapat overriding daripada dia, saya kena ada sideline 2000PV. Walaupun pangkat Pengurus Agensi, tetapi bonus yang saya dapat adalah berpangkat paling rendah – GANGSA!
Downline kedua yang saya taja adalah seorang usahawan kontraktor kelas F, Yusof Bonyamin. Beliau datang ke rumah saya bertujuan supaya saya memasang perisian komputer. Maklumlah setiap kali dia dapat menjual komputer kepada pelanggan-pelanggan, sayalah yang akan pasang (install) perisian komputer seperti Microsoft Windows dan sebagainya. Adakalanya dia minta saya servis komputer.
Masa dia datang ke rumah, dia teruja apabila melihat gambar-gambar jutawan yang ditampal di dinding rumah saya. Saya tidak mulakan bicara sebaliknya gambar-gambar itu yang membuatkan dia ingin tahu. Apabila dia bertanya tentang gambar itu, saya pun mulakan cerita latar belakang satu persatu jutawan yang tertampal di dinding rumah saya itu. Ternyata dia 'terangsang' apabila saya memberitahu latar belakang beberapa orang jutawan lalu meminta saya membawanya sekurang-kurangnya seorang. Dia minta saya buktikan. Saya pun pelawa di datang hari Rabu di belakang Balai Polis Batu 6, Gombak. Siapa lagi kalau tak rumah Wak Ramlan.
Apabila dia datang pada waktunya, dia bertambah teruja lalu tidak banyak soal untuk mengisi borang menjadi ahli. Daripada dia pun kumpulan saya lagi membesar. Namun demikian, oleh kerana dia lebih tertumpu pada perniagaan konvensionalnya, maka kumpulannya hanya dibiarkan begitu sahaja. Saya pun tidak rapat dengan 'orang bawahannya' sebab dia jarang kenalkan 'orang-orang'nya kepada saya.
Secara keseluruhannya, saya memiliki 7 orang 'diret line'. Memang seronok buat MLM walaupun memiliki masa yang terhad disebabkan terikat dengan 'dateline' sebagai wartawan. Masa saya lebih banyak tertumpu pada pekerjaan wartawan. Kadang-kadang bila rancang nak buat 'home party' di rumah terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir kerana mendapat tugasan daripada editor pada waktu hujung minggu. Kerja wartawan memang kena sentiasa 'standby' pada bila-bila masa yang diperlukan.
Banyak cabaran yang saya lalui sewaktu mengusahakan MLM secara sambilan. Paling getir adalah ketika 'downline' menghilang diri dan banyak ditarik masuk ke syarikat lain. Saya sendiri kerap kali kena 'basuh minda' (brain wash) daripada leader-leader syarikat lain untuk bersama dengan mereka. Namun, saya tetap kekal dengan sebuah syarikat. Tidak berganjak, walaupun bonus turun naik dan jatuh begitu teruk.
Saya dapat banyak pengalaman yang sebenarnya tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Bukan senang nak berjaya dalam MLM walaupun kita lihat orang berjaya seperti nampak kelihatan mudah. Saya terasa patah semangat juga ketika di awal-awal buat MLM. Jemput orang datang meeting, seorang pun tak datang. Saya masih ingat, sewaktu program di kampung halaman, saya jemput lebih dari 10 orang supaya hadir ke sebuah hotel di Segamat.
Dari Kuala Lumpur, saya tumpang kereta BWW 5 siries yang baru, milik seorang jutawan yang dahulunya bekerja sebagai penghatar surat. Saya jangkakan kawan-kawan di kampung akan hadir sekurangnya 6 orang yang sudah 'comfirm' untuk hadir. Tapi bila sampai di hotel berkenaan, tiada seorang yang yang hadir. Seterusnya, 3 lagi program berikutnya diadakan di kampung saya di tempat yang sama. Namun, ketiga-tiga program tiada seorang pun orang yang saya jemput hadir.
Dalam hati memang sedih dan kecewa tetapi apabila selalu berdamping dengan orang-orang yang sentiasa bermotivasi, perasaan sedih dan kecewa malah sikap putus asa telah tenggelam. Saya berjaya menewaskan diri sendiri. Yang paling sukar sekali adalah melawan diri sendiri, tetapi saya berjaya mengatasi semua sikap yang negatif itu.
Di pejabat, masih saya ingat usikan bos. Dalam satu mesyuarat editorial, bos beritahu yang mana semua yang hadir meeting pada pagi itu diberitahu ada seorang kakitangan tidak cukup makan, dia jadi doktor sambilan - jual ubat dalam pejabat! Saya hanya tersenyum mendengarnya, kawan-kawan yang perasaan memerhatikan saya. Saya tidak pun rasa malu!
Begitulah cabaran-cabaran yang saya lalui. Lama-kelamaan saya dapat menerima apa juga cabaran. Dan saya sudah pasang tekad, 2009 saya akan jadi apa yang saya nak jadi. Itu adalah azam yang saya tanam di minda sejak tahun 2004. Namun demikian, ketika azam telah tertanam begitu kuat di dalam minda, ketika inilah datang ujian daripada seorang insan, yang dahulunya saya anggap sebagai idola.
Oleh kerana saya lebih cenderung kepada bidang penerbitan, saya beritahu hasrat untuk menerbitkan majalah sendiri, tidak lagi makan gaji. Saya jumpa seorang jutawan dan memang cukup terkenal dalam industri MLM. Saya bawa 'proposal' untuk buat majalah kepadanya selepas meeting di Klang. Waktu itu tinggal di Greenwood, tetapi tiap-tiap minggu (hari Khamis) saya datang ke tempat jutawan berkenaan. Waktu itu beliau sangat sibuk lalu meminta saya membincangkannya di rumah beliau, di Kelab Golf SAS yang nilainya lebih dari RM2 juta.
Di dalam rumah beliau, saya berbincang mengenai usaha untuk mewujudkan sebuah majalah keusahawanan. Nama majalah masa itu tak wujud lagi. Beliau bersetuju dan idea saya diterima sepenuhnya lalu beliau minta saya teruskan apa yang dirancang. Maka saya tidak sedar ketika inilah bermulanya titik-tolak impian saya untuk jadi jutawan MLM semakin lama semakin kendur.
Kenapa saya kata semakin kendur? Kerana ada konflik. Ikuti CATATAN PERJALANAN WARTAWAN MLM siri ke-3: Konflik: MLM atau media.
2 ulasan:
Tahniah kerana mewujudkan satu info mengenai MLM walaupun cuba blog. Harapan saya agar ianya sentiasa diperbaiki. - wartawan komputer.
Masih tak de apa-apa info pun! Saya mengharapkan info-info seperti panduan, tips dan kisah-kisah kejayaan.
Catat Ulasan