01 Februari 2008

Artikel 1 - BAGAIMANA MEMILIH MEDIA BEBAS UNTUK PENGEDAR MLM?

SEJAK kebelakangan ini, media banyak memainkan peranan dalam memberi publisiti yang meluas terhadap industri jualan langsung berbilang tingkat (MLM) dengan memberi liputan kepada individu-individu yang berjaya di bidang berkenaan.

Peranan media memang sangat berkesan dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat untuk menyertai perniagaan MLM. Sekiranya ada pemimpin ataupun pemilik syarikat MLM keluar dalam sesuatu media sama ada majalah mahupun surat khabar, sudah tentu ia boleh digunakan sebagai sponsoring tools bagi menarik prospek menyertai MLM.

Sekiranya anda mendapat tawaran untuk diwawancara oleh wartawan media massa, seharusnya anda tidak menolaknya kerana ia sebenarnya memberi ‘publisiti’ percuma kepada anda sekaligus boleh digunakan oleh ‘downline-downline’ anda ataupun anda sendiri untuk mempengaruhi prospek menyertai perniagaan yang anda tawarkan.

Namun demikian, dalam keghairahan anda mencari peluang untuk memasuki media-media tertentu, beberapa kriteria perlu diberi perhatian kerana jika langkah-langkah tidak diambil, berkemungkinan besar ia akan menjadi ancaman terhadap perniagaan MLM yang anda lakukan.

Jika tersilap langkah, ‘downline-downline’ anda itu boleh ‘ditarik keluar’ untuk menyertai syarikat MLM yang lain. Sebab itu, kenalah berhati-hati ketika anda mendapat peluang untuk memasuki media-media tertentu.

Sebelum anda menerima pelawaan untuk diwawancara, kaji terlebih dahulu latar belakang penerbit dan juga pengarang ataupun editor media berkenaan. Ini kerana kadangkala terdapat agenda-agenda tertentu yang boleh memberi implikasi terhadap anda dan network anda.

Sebagai contoh, jika seorang pengarang itu secara aktif dalam sesebuah syarikat MLM, sudah tentu dia memiliki agenda untuk semata-mata menaikkan syarikat yang disertainya sahaja walaupun dia juga memberi ruang liputan terhadap syarikat-syarikat MLM yang lain seolah-olah kelihatan ‘sama rata’.

Tidak boleh dinafikan, terdapat media yang belakangnya dipengaruhi oleh syarikat-syarikat MLM tertentu apatahlagi syarikat-syarikat MLM berkenaan turut membiayai modal bagi aktiviti penerbitan media berkenaan.

Apabila kedua-duanya terlibat – pengarang dan syarikat MLM – sudah tentu media tersebut akan ‘bias’ terhadap sebuah syarikat MLM. Kebelakangan ini terdapat majalah usahawan yang tumbuh bagaikan cendawan.

Adanya majalah baru berkonsepkan keusahawanan adalah sangat bagus bagi menyerikan lagi industri penerbitan tanah air tetapi motif penerbitan adalah semata-mata untuk memberi ‘milleage’ hanya untuk sebuah syarikat MLM yang berada di belakang majalah berkenaan. Tambahan pula pengarangnya sendiri turut aktif mengusahakan perniagaan MLM syarikat yang berselindung di belakang majalah berkenaan.

Apakah implikasinya anda sebagai seorang pemimpin (leader) yang mempunyai ‘network’ yang ramai mendapat publisiti di majalah berkenaan? Apabila ‘network’ anda membaca majalah berkenaan yang terselit agenda sebuah syarikat MLM, besar kemungkinan ‘downline-downline’ anda terpengaruh untuk menyertai syarikat berkenaan.

Bukan itu sahaja, akan ada leader-leader lain menganggap anda sudah menyertai syarikat yang berada di belakang majalah berkenaan sekaligus menyebabkan reputasi ataupun nama baik anda tercemar. Apabila nama anda tercemar, keyakinan ‘downline’ terhadap diri anda pun semakin berkurangan. Inilah politik dalam MLM yang kadangkala tidak disedari.

Justeru itu, beberapa perkara perlu diberi keutamaan sebelum anda menerima pelawaan mana-mana media untuk menyiarkan kisah kejayaan anda. Yang penting anda kena pastikan sama ada media yang berkenaan bebas dari pengaruh syarikat ataupun pemimpin MLM atau sebaliknya.

Seharusnya anda membuat rujukan terlebih dahulu atau bertanya kepada mereka yang arif dalam memastikan media yang benar-benar bebas.

Ciri-ciri media bebas untuk pengedar MLM
* Pengarang tidak aktif dalam mana-mana syarikat MLM. Tetapi tidak menjadi masalah kalau pengarang itu hanya menjadi ahli mana-mana syarikat MLM.

* Syarikat penerbit bukan dari entiti perniagaan yang ditubuhkan sendiri oleh syarikat MLM. Bermakna bukan menjadi anak syarikat kepada syarikat MLM tertentu.

* Penerbit bukan menjadi proksi kepada syarikat MLM tertentu. Contohnya, syarikat MLM memberikan modal kewangan untuk pihak tertentu membuka syarikat penerbitan sendiri. Penerbit sudah tentu terpaksa akur dengan pemberi modal dan sudah tentu segala penerbitan adalah bersifat ‘bias’.


Artikel ini akan diperbaiki dari semasa ke semasa. Jika anda ada pandangan yang bernas untuk dikongsikan dalam artikel ini, silalah berbuat demikian dengan menghantar emel ke wartawanmlm@gmail.com

Tiada ulasan: