08 Jun 2008

PANDUAN MENAJA 1

BAGAIMANA MENAJA MENGGUNAKAN MAJALAH?
KETIKA di peringkat awal menjadi ahli syarikat pemasaran berperingkat (MLM), ramai di kalangan ahli dibekalkan dengan ‘starter kit’ oleh pihak syarikat. Namun demikian, berapa ramai di kalangan mereka menggunakan ‘starter kit’ untuk tujuan mendapatkan prospek ataupun membuat penajaan (sponsoring)?

Mula-mula sahaja bersemangat, tetapi lama kelamaan ‘starter kit’ disimpan di dalam almari ataupun dibawah katil. Ia tidak ditunjukkan kepada prospek lagi. Kenapa hal ini boleh berlaku?

Ada dua faktor terpenting. Pertama sebab malu dan kedua tak nak prospek tahu anda buat jualan langsung.

Malu
Ramai di kalangan pengedar baru kebanyakannya agak keberatan untuk membawa ‘starter kit’ sama ada berbentuk beg ataupun fail untuk ditunjukkan kepada prospek mereka. Mula-mula sahaja ‘joint’ syarikat MLM, semangat berkobar-kobar – antusias!. Apabila diperli oleh rakan-rakan, semangat bawa ‘starter kit’ pun semakin lama semakin pudar.

Cubalah anda kira, berapa ramai organisasi di bawah jaringan anda (downline-downline) membawa ‘starter kit’ ketika berjumpa dengan prospek masing-masing. Jangankan mereka, anda sendiri pun tak gunakan!

Pengalaman saya, waktu di peringkat awal menyertai sebuah syarikat gergasi MLM tempatan memang penuh bersemangat. Namun, apabila bos ternampak saya mengepit ‘starter kit’, dia memperli saya di hadapan kakitangan-kakitangan yang lain.

“Ada di kalangan rakan kita yang tak cukup makan. Dia dah jadi jurujual!” demikian tempelak bos dalam satu mesyuarat editorial, tempat lama saya bekerja. Mesyuarat itu dihadiri oleh beberapa wartawan, jurugambar, pengarang, penyunting, eksekutif pemasaran dan pereka grafik.

Saya fikir, ramai juga di kalangan mereka yang baru melibatkan diri dengan dunia MLM mengalami situasi yang sedemikian. Kena perli dengan bos, rakan-rakan, adik-beradik, ibu bapa, saudara-mara dan sebagainya. Bila tidak ada daya tahan, akhirnya akan mengalah untuk menggunakan ‘starter kit’ – simpan sahaja di rumah!


Tak nak prospek tahu
Satu lagi faktor kenapa tak bawa ‘starter kit’ ialah kerana tak mahu prospek tahu anda hendak cerita pasal MLM dengannya. Saya juga ada pengalaman mengenai hal ini. Habis waktu bekerja sebagai wartawan, malamnya saya merayau untuk cari prospek. Nak cubalah secara rambang. Sasarannya di kedai makan dan di tempat umum. Saya mencari tempat duduk. Belum pun sempat duduk, orang lari dan menjauhkan diri daripada saya. Pasal apa ye? Kerana saya mengepit ‘starter kit’ berwarna merah.

Memang benar, apabila anda berjumpa prospek, dari jauh lagi prospek sudah boleh mengagak anda hendak bercerita tentang jualan langsung kepadanya sebaik sahaja dia ternampak anda membawa ‘starter kit’. Ini salah satu sebab kenapa ramai pengedar tidak bawa ‘starter kit’ ketika bertemu dengan prospek selain dari sebab rasa malu untuk menunjukkannya.

Kalau tunjuk pun, prospek tidak peduli apa yang ada dalam ‘starter kit’ anda itu. Bagi prospek, apa yang ada di dalam kandungan ‘starter kit’ itu dikeluarkan oleh pihak syarikat sendiri, sudah tentu maklumatnya baik-baik belaka.

Tetapi maklumat sama yang terdapat di dalam ‘starter kit’ tersebut disiarkan di dalam media pihak ketiga yang tidak ada kena mengena ataupun berkepentingan dengan syarikat jualan langsung berkenaan telah memudahkan anda untuk membuat aktiviti penajaan.

Memang ada bezanya kalau anda pergi jumpa prospek dengan membawa ‘starter kit’ pihak syarikat dengan majalah pihak ketiga. Dari jauh anda bawa majalah, prospek tidak akan tahu motif sebenar anda bertemu dengannya dan prospek jauh lebih yakin dengan maklumat yang disiarkan oleh pihak media untuk menyertai perniagaan anda.

Apa yang perlu anda lakukan mudah sahaja! Tunjukkan majalah yang menyiarkan liputan eksklusif syarikat yang anda sertai itu kepada prospek.

Ketika ini hanya ada sebuah majalah sahaja yang sangat sesuai dijadikan sebagai ‘starter kit’ iaitu majalah SUKSES. Majalah lain bukan tidak ada, ada tetapi ia tidaklah eksklusif dan fungsinya bukanlah sebagai ‘starter kit’.