Sejarah Permulaan Menjadi Wartawan
MENJADI penulis adalah impian yang telah terbina sejak dari kecil lagi. Ketika berada di bangku sekolah, Sekolah Tinggi Segamat Johor (STS), bakat saya digilap oleh guru sastera, Drs. Ungku Mohamad Zaman Tahir. Beliau banyak memberi galakan serta rangsangan kepada saya untuk menceburi bidang penulisan.
Waktu di tingkatan 6 bawah, saya mendapat pendedahan tentang proses menerbitkan buku sekolah – majalah OPHIR dari A to Z. Saya terpilih menjadi sidang redaksi majalah berkenaan. Tugas saya waktu itu adalah mendapatkan bahan dengan mewawancara beberapa sumber dan kemudiannya diolah dalam bentuk tulisan. Secara tidak langsung, di sekolah lagi saya sudah menjadi wartawan. Perasaan seronok menjadi wartawan mulai bercambah di dalam jiwa apabila diberi peluang menemubual pelajar-pelajar, guru-guru termasuk Guru Besar.
Di samping menjadi wartawan, saya juga bertindak membantu Ketua Editor untuk menyediakan bahan sehinggalah terjadi majalah (siap dicetak).
Setahun kemudiannya iaitu di Tingkatan 6 atas (tahun akhir persekolahan), saya dilantik menjadi Ketua Editor. Tanggungjawab pun semakin berat. Kalau tahun sebelum itu mewawancara sumber, tetapi kali ini lebih tumpuan terhadap proses-proses menerbitkan majalah sekolah secara keseluruhannya. Saya kena pastikan majalah tersebut berjaya diterbitkan. Apa yang penting, saya lebih terdedah dengan kerja-kerja kewartawanan sehinggalah majalah berjaya dicetak.
Tamat persekolahan, awal tahun 1996 saya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai 'salesman', bidang yang bukan saya minati tetapi terjebak dan terpaksa. Saya sempat bekerja selama 6 bulan sahaja dan pendapatan yang saya perolehi agak lumayan. Pertama kali bekerja boleh dapat pendapatan purata RM2000-2500 sebulan.
Selepas mengambil pengalaman sebagai 'salesman', saya pulang ke kampung halaman semula di Segamat, Johor. Ogos 1996, kembali semula ke Kuala Lumpur untuk mengikuti kursus perbankan dan kewangan di sebuah institusi swasta di Jalan Tungku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. Tetapi malangnya, selepas sebulan belajar subjek berkenaan, saya gagal dalam beberapa temuduga untuk kerja ‘bank’.
Oktober 1996, ketika sarapan pagi di Restoran Kak Su, di Bandar Baru Ampang, saya terbaca iklan akhbar Berita Harian: “WARTAWAN DIPERLUKAN. Syarat lulusan SPM dan minat jadi wartawan.” Saya hubungi nombor yang tertera dan meminta saya datang temuduga. Lepas baca iklan saya terus ke tempat berkenaan.
Lokasinya berdekatan dengan Hotel Flamengo, Ampang. Ingatkan betul-betul pejabat, tetapi lokasi temuduga di dalam ‘rumah’. Saya melepasi ujian temuduga termasuk menulis berita dari PENYATA RASMI PARLIMEN (Hansard).
Dengan gaji RM500 sebulan, saya menjadi wartawan untuk akhbar tabloid MINGGUAN POLITIK dan setahun kemudian menjadi sub-editor akhbar pendidikan mirip MINDA PELAJAR iaitu akhbar ATOM – Angkatan Terpelajar Orang Muda.
Dua surat khabar ini telah melatih tubi saya menjadi wartawan dan guru saya di bidang wartawan adalah Tuan Haji Ikhwan Nasir (Pak Wan). Selain pernah menjadi guru dan wartawan Utusan, beliau juga dikenali di kalangan ahli politik tempatan kerana pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pontian, Johor. Pak Wan juga pernah menjadi Setiausaha Politik (setpol) kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail. Di samping bakat penulisan, Pak Wan juga berbakat dalam bidang pidato politik. Inilah sedikit gambaran mengenai guru sebenar yang mengajar saya bidang kewartawanan.
Namun saya tidak lama bersama dengan Pak Wan kerana syarikat penerbitannya menghadapi masalah kewangan. Sayalah orang yang terakhir berhenti kerja.
2 Januari 1998, saya bertukar tempat kerja pula ke Pustaka Wira Sdn Bhd, penerbitan milik keluarga yang diterajui Tuan Haji Salleh Hamzah (bekas wartawan Berita Harian) dan isterinya, Rahmah Saad (bekas wartawan Utusan). Di sini, lebih banyak pendedahan saya dapat.
Bermula dengan menjadi wartawan untuk majalah IBU, kemudian majalah PESONA dan melalui majalah USAHAWAN MALAYSIA yang kemudiannya bertukar USAHAWAN SUKSES, corak penulisan saya mula tertumpu ke bidang keusahawanan.
Saya lebih banyak membuat liputan untuk majalah USAHAWAN SUKSES dari ‘coverage’ untuk majalah yang lain. Namun, usahawan yang paling banyak saya temubual adalah di kalangan usahawan MLM sejak tahun 2002. Untuk memahami selok-belok bidang MLM, saya membuat 'research' mengenai bidang berkenaan.
Selain kerap mengunjungi Perpustakaan Negara, banyak juga buku-buku yang saya pinjam daripada pemimpin-pemimpin MLM daripada pelbagai syarikat. Saya pinjam, saya potostat dan menghimpunkan segala maklumat untuk dibuat ‘research’. Saya belajar sendiri dan buku yang paling banyak saya dapat pinjam adalah buku tulisan Razzi Armansur.
Tetapi yang menjadi titik tolak saya memahami dan mendalami bidang MLM adalah buku bertajuk “EMPAYAR of FREEDOM.” Walaupun ia cuma kisah kejayaan individu-individu dari syarikat AMWAY, tetapi saya dapat kutip mengenai ‘fundemental’ MLM. Falsafah, tujuan dicipta, asal-usul termasuk penciptanya, semua sudah ada dalam kepala.
Tetapi kalau setakat membuat penyelidikan melalui buku-buku sahaja tidak memadai. Ilmu yang ada kenalah dipraktikkan. Saya bertuah kerana berpeluang menemurah jutawan-jutawan MLM, maka secara tidak langsung dapat menyaksikan dengan mata kepala sendiri tentang gaya hidup mereka. Apabila sudah terlalu banyak mengikuti perjalanan hidup jutawan-jutawan MLM dari pelbagai syarikat, saya mula jatuh cinta dengan MLM dan menjadi ahli secara ‘sukarela’ dengan sebuah syarikat gergasi MLM tempatan.
Pada mulanya hanya untuk menemurah seorang jutawan tetapi setelah meneliti perjalanan hidupnya orang tua bernama ‘Wak Ramlan’ – hanya darjah dua sekolah zaman Jepun tetapi mampu memiliki kereta mewah Marcedes S320 yang berharga hampir setengah juta selain berjaya memiliki rumah bernilai hampir RM1 juta – hati saya terus terangsang dan ingin mengikut jejak langkahnya. Maka keesokan malamnya saya suruh Pak Jais (seorang pemandu yang tugasnya membawa wartawan dan jurugambar) yang turut menjadi ahli syarikat berkenaan supaya membawa saya ke tempat meeting.
Ketika menghadiri meeting di Jalan Genting Klang, Setapak, kebetulan malam itu ada seorang artis lelaki turut sama dalam majlis tersebut. Kelihatannya memakai kot dan bertali leher. Saya memerhatikan di sekeliling tempat meeting itu, masing-masing khusyuk – tua muda – mendengar taklimat peluang perniagaan yang disampaikan oleh pemimpin MLM. Tiba-tiba artis yang saya lihat itu tampil ke depan dan menyampaikan ceramah berkenaan dengan ‘Marketing Plan'.
Apabila mendengar dia berucap, bermacam-macam persoalan bermain di fikiran. Kalau dia boleh buat, tak kan aku tak boleh buat! Begitulah bisik hati saya. Penerangannya malam itu sangat menghiburkan, tidaklah serius dan hadirin pun ketawa terbahak-bahak menyaksikan gelagat artis berkenaan berucap.
Habis sahaja malam itu, saya terus beritahu Pak Jais: "Mana borang yang perlu saya isi?" Ketika itu saya tidak membawa duit yang mencukupi untuk jadi ahli syarikat berkenaan.
"Pak cik, saya tak ada duit nak masuk. Boleh tak bayarkan dulu yuran masuk. Dapat gaji bulan ni saya bayar” Pak Jais pun akur dengan permintaan saya. Maka bermula saya terlibat dengan perniagaan MLM secara praktikal, bukan lagi teori.
Bersambung akan datang dengan siri ke-2 - Pengalaman Buat MLM.